Kajian Teknologi Umat Terdahulu Bhg. 5

Sepanjang sejarah, Allah telah mengutuskan pesuruh-Nya untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran. Sesetengah daripada mereka patuh kepada utusan-utusan tersebut dan percaya akan kewujudan dan keesaan Allah, manakala sebahagian lagi tetap menolaknya. Sejak kewujudan manusia, mereka telah belajar percaya terhadap kesatuan dan keesaan Allah serta nilai moral agama sebenar melalui wahyu Ilahi. Oleh itu, dakwaan evolusionis bahawa masyarakat sebelum ini tidak percaya terhadap kesatuan dan keesaan Allah adalah salah. Al-Quran mendedahkan bagaimana Allah telah menghantar utusan sepanjang sejarah untuk mengajak manusia percaya dan hidup dengan nilai-nilai moral:


Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.
Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).|Qs. al-Baqarah: 213|
Ayat lain yang membuktikan bahawa utusan telah dihantar kepada setiap bangsa untuk memberi amaran kepada mereka, mengingatkan mereka tentang kewujudan dan keesaan Allah SWT, serta mengajak mereka untuk membuat kebaikan:
Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.|Qs. al-Faatir: 24|
Walaupun Allah telah mengutus pesuruh-Nya dan kitab suci, sesetengah manusia masih lagi tidak mengerti dan membelakangkan kebaikan agama yang sebenar serta mengamalkan kepercayaan karut. Ada di antara mereka yang mengembangkan kepercayaan pagan yang menyalahi tatasusila dengan menyembah tanah, batu, kayu, Bulan atau Matahari, bahkan juga memuja semangat jahat. Begitu juga dengan dunia hari ini, bersama dengan masyarakat yang beriman kepada agama yang benar, terdapat juga golongan yang menyembah api, Bulan, Matahari serta berhala yang diperbuat daripada kayu. Walaupun sedar tentang kewujudan dan keesaan-Nya, sesetengah daripada mereka masih lagi mengasosiasikan Allah.


Namun, Allah tetap menghantar utusan untuk menyedarkan mereka tentang kesilapan yang telah dilakukan. Mereka diajak meninggalkan kepercayaan karut dan berpegang kepada agama yang benar. Sepanjang masa dalam sejarah, ada golongan yang beriman dan ada yang ingkar, ada yang hidup dengan kepercayaan yang suci dan ada yang melanggar hukum.


Golongan beriman yang hidup di zaman para nabi telah menikmati kehidupan berkualiti dengan penuh tamadun. Mereka hidup dalam rangka sosial yang tersusun semasa zaman Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi Yusuf a.s, Nabi Musa a.s, dan Nabi Sulaiman a.s, seperti mana mereka hidup pada hari ini. Tanpa mengira usia, orang-orang yang beriman bersembahyang, berpuasa, patuh kepada aturan Allah, hidup dalam suasana yang bersih dan berlandaskan hukum. Penemuan-penemuan arkeologi memperlihatkan taraf kehidupan yang sangat baik, mulia dan bersih yang dijalani oleh mereka yang patuh kepada Allah. Di zaman mereka, para nabi dan rasul serta golongan yang beriman menggunakan cara terbaik dan bersesuaian dengan suruhan Allah.


Semua perkembangan teknologi di zaman Namrud telah digunakan sebaiknya oleh Nabi Ibrahim a.s dan mereka yang percaya kepadanya. Pengetahuan teknikal di zaman Firaun diaplikasikan dalam pekerjaan Nabi Yusuf a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s, serta pengikut-pengikut mereka. Tahap teknologi yang tinggi dalam bidang senibina, seni dan komunikasi di masa Nabi Sulaiman a.s digunakan dengan cara terbaik. Limpahan kekayaan dan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah sebagai rahmat kepada Nabi Sulaiman a.s menurunkan perasaan teruja kepada semua generasi.


Kita harus sedar bahawa segala informasi dan sumber yang dimiliki oleh masyarakat purba, termasuk juga yang dipunyai oleh masyarakat hari ini, merupakan anugerah Ilahi. Masyarakat ratusan ribu tahun dahulu mengasaskan tamadun, membuat lukisan menarik pada dinding-dinding gua puluhan ribu tahun dahulu, menghasilkan piramid dan ziggurat, membentuk tugu batu yang besar serta membina struktur-struktur hebat di altitud tertinggi Peru, semuanya mereka lakukan hasil ilham dan ajaran Allah. Mereka yang mengkaji zarah-zarah sub-atom hari ini, menghantar kapal ke angkasa dan menulis perisian komputer, juga atas keizinan daripada Allah. Segala pengetahuan yang dimiliki oleh manusia sejak penciptaan mereka merupakan rahmat daripada Ilahi, dan begitu juga dengan setiap tamadun yang telah diasaskan.


Allah menciptakan manusia daripada tiada serta memberinya rahmat dan dugaan sepanjang hidupnya di dunia. Setiap rahmat yang dilimpahkan juga merupakan ujian. Mereka yang tahu bahawa peradaban, teknologi dan sumber yang dimiliki sebenarnya adalah anugerah Ilahi akan berterima kasih kepada Allah yang Maha Pemurah:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.|Qs. Ibrahim: 7|
Allah membenarkan hamba-Nya yang beriman untuk menikmati kehidupan yang menggembirakan di dunia dan juga di akhirat. Ini telah dijelaskan dalam Al-Quran:
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.|Qs. an-Nahl: 97|
Sebagai manifestasi daripada ayat tersebut, Muslim sepanjang sejarah telah memiliki kaedah terbaik di zaman mereka dan memimpin ke arah kehidupan yang menyenangkan. Secara semulajadi, sebahagian mereka telah diuji dengan pelbagai kesusahan dan masalah, tetapi ini tidak bererti mereka hidup serba kepayahan, keadaan primitif, dan tidak bertamadun. Tidak kira betapa kaya, selesa dan maju peradabannya, mereka yang tetap ingkar dan hidup tanpa nilai-nilai moral yang baik serta membawa kerosakan di muka bumi, akan sentiasa berakhir dengan kekecewaan. Tambahan pula, ramai di antara mereka yang mungkin menikmati teknologi yang lebih maju berbanding dengan yang dimiliki masyarakat moden hari ini. Ini dijelaskan dalam Al-Quran:
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.|Qs. ar-Rum: 9|

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Elf Coupons