Saya mulakan artikel dengan mengambil petikan ayat al quran dari surah al Baqarah 278-281 mengenai riba`:
Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba)maka ketahuilah bahwa Allah dan Rasulnya akan memerangimu.
Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba),maka bagimu pokok hartamu;kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran,
maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan.Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya,sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya.|Qs. Al-Baqarah: 278 - 281|
Mungkin anda pernah terbaca pada artikel-artikel yang lalu mengenai Benedectine Order dan Last Pope serta misi mereka. Kali ini kita akan cuba mengupas mengenai misi mereka mendominasi ayat di atas dan kaitannya dengan riba.
Moga-moga Pengenalan yang ringkas ini dapat memberi gambaran isu riba dalam syariat Islam.
Memahami Riba merupakan asas terpenting dalam kehidupan seorang muslim, kerana isu ini adalah isu besar, jika kita tidak mengetahuinya, bermakna kita cuba meletakkan diri kita dalam mengisyhtiharkan Perang kepada Allah.
Walaupun isu ini sangat penting tetapi tidak diketahui secara betul oleh majoriti umat Islam. Kebanyakan orang mengenali riba hanya sebagai bunga (interest). Sedangkan realitinya riba adalah lebih kompleks. Silap faham ini bukan sahaja kerana silap kiraan tetapi hasil dari pembelajaran dan doktrin palsu yang membawa kepada kejatuhan kuasa politik ummah yakni Khilafah Islamiah dan proses Islamisasi atas pembaharuan yang datang berikutnya.
Riba sangat jauh bertentangan dengan jual beli. Melalui riba, satu pihak akan menindas satu pihak yang lain, sedangkan jual beli memberikan dua-dua pihak keuntungan.
Sebagai permulaan, bagi memahami realiti riba, kita perlu mengetahui takrifan bagi kedua-duanya, mari kita lihat maksud al-bai’ (jual beli) dan riba dalam jual beli.
Dari Kitab Fathul Muin : Albai’(jual beli)
Dari segi bahasa ‘jual beli’ ialah menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Menurut syarak ialah menukar harta dengan harta pada wajah tertentu.
Riba dari segi bahasa bermaksud “ lebihan ”dalam bahasa Arab. Qadi Abu Bakr ibn al-Arabi, didalam Tafsir “Ahkamul Qur’an” mendefinasikan riba sebagai: setiap lebihan antara nilai barang yang diberi dan nilai yang diterima.
Lebihan ini merujuk kepada dua pekara :
1. setiap lebihan, manfaat hasil dari penambahan yang tidak ketentuan dalam timbangan dan ukuran.
2. setiap lebihan, manfaat dari ketidaktentuan yang datang dari penangguhan.
Jual beli riba ( Bai’ ribawi) : Jual beli riba hanya terjadi pada dua hal :
1. Makanan : spt. gandum, sya’ir, kurma , anggur, garam, beras, jagung , ful
2. Nuqud : Emas dan Perak : Walaupun dalam bentuk bahan seperti perhiasan emas dan perak.
Dua aspek ini membawa ulamak kita mengkategorikan riba kepada dua jenis.
Ibn Rushd berkata: “Fuqahak bersependapat bahawa riba didalam jual beli(perniagaan) ada dua jenis: penangguhan ( nasi’ah ) dan lebihan yang ditetapkan (tafadul)”
Dengan maksud, ada dua jenis riba:
1] Riba al-Fadl (lebihan dalam penambahan )
2] Riba al-Nasiah (lebihan melalui penangguhan)
Riba al-fadl merujuk kepada kuantiti/bilangan/berat.
Riba al-nasiah merujuk kepada masa yakni penangguhan.
1 – RIBA AL-FADL :
Riba al-fadl sangat mudah untuk difahami. Dalam pinjaman, riba al-fadl adalah interest/bunga yang dikenakan sebagai lebihan atas pokok. Tetapi secara umumnya ia bermaksud satu pihak meminta penambahan dari nilai yang diberi.
Satu pihak memberi sesuatu dengan nilai 100 bagi pertukaran sesuatu yang bernilai 110.
Ini termasuk juga yang dilarang apabila dua transaksi jual-beli (aqad) dihubungi dengan satu transaksi (aqad) – dikenali sebagai dua jual-beli dalam satu, dimana satu pihak dikehendaki menjual sesuatu pada satu harga dan menjual semula dengan tempoh tertentu dengan harga yang lebih rendah kepada penjual yang mula tadi. Sebenarnya, ini adalah dalih bagi mendapatkan pinjaman dengan bunga/interest atas nama jual beli. Tidak ada sesiapa pun yang perlukan alasan atau dalih untuk mendapatkan pinjaman terus dari Bank hari ini tetapi Perbankan Islam telah kembali kepada muslihat ini bagi memperdayakan pelanggan mereka dengan menyelewengkan makna “ murabaha “.
Contoh dua jual beli dalam satu :
Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar bahawa
Rasullullah s.a.w. melarang dua jual beli dalam satu jual beli.
Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar bahawa seorang lelaki berkata kepada yang lain,
”Belilah unta ini bagi saya segera supaya saya boleh membeli dia daripada anda secara berhutang.”
Abdullah ibn Umar telah ditanya tentang yang itu dan dia tidak bersetuju dan melarangnya.
Dalam permasalahan kini: Kita meminta Bank membeli rumah untuk kita dari kontraktor secara tunai (satu harga) dan kita akan membeli semula rumah tersebut dengan hutang (satu harga yang lain) dari bank. Ada dua harga yang berlaku disini. Bank hanya akan membeli rumah secara tunai jika kita membelinya semula dengan hutang pada harga yang lain. Jika tidak, jual beli tidak akan berlaku.
Apakah perbezaan antara contoh hadis dan yang sedang dibuat oleh bank-bank yang melabelkan mereka bank Islam atau cawangan islam?
Sesungguhnya, berjayalah mereka yang dapat melihat bagaimana orang islam dilibatkan dalam transaksi riba dan berusaha meninggalkannya.
Contoh Riba al Fadhl:
Penukaran emas dengan emas atau perak dengan perak.
Kitab Al Muwatta’
Yahya meriwayatkan daripada Malik yang Yahya ibn Said berkata,
"Rasullulah s.a.w, mengarahkan dua Saad untuk menjual becana/bekas yang diperbuat dari salah satu emas atau perak daripada harta rampasan. Mereka sama ada menjual masing-masing tiga unit-unit berat untuk empat unit berat duit syiling atau masing-masing empat unit-unit berat untuk tiga unit berat duit syiling. Rasullulah s.a.w, berkata kepada mereka,‘Kamu telah mengambil riba, jadi kembalikan ia."Penukaran ini melibatkan berat yang tidak sama. Antara becana atau bekas yang diperbuat dengan emas dan perak. Menjualnya dengan tidak setimpal dari segi berat syiling dinar dan dirham adalah riba."
Yahya meriwayatkan daripada Malik daripada Humayd ibn Qays al-Makki yang Mujahid berkata,
“Saya berada bersama Abdullah ibn Umar, dan seorang tukang datang kepadanya dan berkata, ‘Abu Abd ar-Rahman – Saya membentuk emas perhiasan dan kemudian menjual lebih daripada beratnya. Saya mengambil satu jumlah bersamaan kerja tangan saya.’ Abdullah melarang dia melakukan yang demikian , jadi tukang itu mengulangi soalan kepadanya, dan Abdullah terus melarangnya sehingga dia datang ke pintu masjid atau kepada binatang tunggangannya . Kemudian Abdullah ibn Umar berkata, ‘Satu dinar untuk satu dinar, dan satu dirham untuk satu dirham. Tidak boleh menambah antara mereka. Ini merupakan perintah dari Nabi kita untuk kami dan nasihat kami untuk anda.’ "
Yahya meriwayatkan daripada Malik yang dia telah mendengar dari datuknya, Malik ibn Abi Amir yang Uthman ibn Affan menyatakan,
"Rasullulah s.a.w berkata kepada saya, ‘ Jangan kamu jual satu dinar untuk dua dinar atau satu dirham untuk dua dirham"
Apa yang kita faham dari hadis Saidina Uthman bahawa tukaran emas dengan emas dan perak dengan mestilah seimbang. Maknanya bukan menukar 1 dinar syiling emas dengan 1 dinar syiling emas. 1 dinar ialah 1 mithqal iaitu berat emas 4.25 gram tidak kira dalam apa bentuk sekalipun tukarannya mesti sama berat.
Sebab itulah syiling dinar emas mesti dalam bentuk emas 916 kerana barang kemas majoritinya adalah emas 916. Jika 2 dinar emas 999 ditukar dengan barang kemas 916 yang beratnya 8.5 gram, walaupun sama timbangan beratnya dalam tukaran, kualitinya tidak sama maka akan berlaku riba disitu.
Imam Malik berkata: "Tiada salah dalam membeli emas dengan perak atau perak dengan emas tanpa berukuran jika ianya bukan dalam bentuk syiling atau barang kemas yang telah diperbuat. Syiling dirham dan dinar yang boleh dikira tidak sepatutnya dibeli tanpa pengiraan sehingga mereka dikenali dan terjumlah. Untuk meninggalkan jumlah dan membeli mereka secara rambang akan menjadi jual beli mengagak-agak (spekulatif). Itu bukan sebahagian daripada urus niaga muamalat bagi umat Islam. Apa – apa bahan dari emas dan perak dalam bentuk bukan syiling dan barang kemas, tidak ada salahnya dalam membeli benda-benda sebegitu tanpa berukuran. Untuk membeli mereka tanpa berukuran adalah seperti membeli gandum , kurma kering, dan barang makanan yang lain, yang dijual tanpa berukuran, walaupun benda-benda seperti mereka adalah diukur "
Benda yang jelas perlu dihitung dalam tukaran ialah syiling dirham perak dengan syiling dinar emas. Ini bagi menjelaskan rate tukaran antara syiling dirham dan syiling dinar.
Ini boleh merujuk kepada zakat keatas syiling dirham dan perak.
Kitab Muwatta’
Imam Malik berkata, jika seorang lelaki telah memiliki seratus dan enam puluh dirham dan kadar pertukaran dalam di kotanya ialah lapan dirham untuk satu dinar, beliau tidak perlu membayar apa-apa zakat. Zakat hanya untuk dibayar jika sampai dua puluh dinar emas atau dua ratus dirham.
Contoh yang melibatkan bahan makanan (ingat bahawa jual beli yang melibatkan makanan yang boleh menjerumuskan kepada riba adalah makanan asasi masyarakat spt. gandum, sya’ir, kurma , anggur, garam, beras, jagung , ful) :
Abu Said alKhudri meriwayatkan bahawa Bilal telah membawa kepada Nabi beberapa kurma Barni (jenis kurma) dan apabila beliau (Bilal) ditanya oleh baginda (Nabi) dari manakah beliau mendapatkannya, Beliau menjawab ” Aku mempunyai kurma yang mempunyai kualiti yang rendah ,kemudian aku menukarkan dua Sa’ (bekas) daripadanya untuk satu Sa’ (bekas) yang ini.
Nabi menjawab: Ah, inilah intipati riba. Intipati dari riba. Jangan kamu lakukan demikian, tapi jika kamu mahukan, jualkan kurma dalam transaksi yang berasingan kemudian kamu beli dengan apa yang kamu dapatkan (dari jual beli kurma tadi).
Lebih mudah jika kita menggunakan contoh beras, kerana beras adalah makanan asasi masyarakat nusantara.
Saya adalah tokey beras basmati.
Awak adalah tokey beras Siam.
Jika saya mahu menukarkan beras Basmati dengan beras Siam, maka syaratnya adalah satu kilogram beras Basmati saya ditukar dengan Satu Kilogram beras Siam awak.
Jika saya mempunyai beras basmati, dan saya mahukan beras Siam untuk dimakan, maka saya tidak boleh menjualkan satu kilogram beras Basmati untuk mendapatkan dua kilogram beras Siam dari awak. Ini adalah riba. Walaupun kita tahu bahawa beras Basmati adalah beras kualiti tinggi, dan beras Siam sedikit rendah kualitinya, tetapi inilah syarat jika kita mahu menukarkan makanan yang sama. Iaitu sama berat.
Jika Saya masih mahukan beras Siam dari satu kilogram beras Basmati kepada dua kilogram beras Siam, saya perlu menjual satu kilogram beras Basmati yang ada ditangannya dan mendapatkan dinar (emas) atau dirham (perak) atau barangan lain, kemudian dari barangan yang beliau dapatkan itu, beliau boleh membeli beras Siam yang diinginkannya.
2 – RIBA AN-NASIAH
Memahami Riba al-nasiah adalah lebih halus dan teliti. Lebihan pada masa secara tidak adil yang ditambah dalam transaksi adalah penangguhan yang tidak adil.
Imam Malik berkata, “Tidak elok pertukaran dalam dua untuk satu daripada satu jenis dengan tertangguh . Tiada merosakkan tukaran dalam mengambil dua daripada satu jenis untuk satu daripada satu jenis lagi dengan tertangguh , jika keduanya dengan jelas berbeza jenis. Jika kedua-duanya menyerupai satu sama lain tetapi nama mereka adalah berlainan , seperti plumbum biasa dan plumbum hitam, loyang biasa dan loyang kuning, saya tidak bersetuju mengambil dua daripada satu jenis untuk satu daripada yang lain secara bertangguh .”
Ada ulama` memperincikan riba kepada riba al yad. Iaitu keadaan dimana salah satu penjual atau pembeli meninggalkan majlis aqad sebelum berlaku serah terima
Ini merujuk kepada pemilikan(‘ayn) dan bukan pemilikan/hutang(dayn) sebagai alat pembayaran (emas, perak dan makanan yang digunakan sebagai wang). ‘Ayn ialah barang yang nyata dan selalu dirujuk sebagai tunai(fizikal). Dayn adalah nota janji untuk membayar atau suatu hutang atau apa barang dimana penghantaran atau pembayaran ditangguh.
Menukar(safr) dayn dengan ‘ayn samalah seperti Riba al-nasiah. Menukar dayn dengan dayn juga dilarang. Didalam penukaran hanya ‘ayn dengan ’ayn diizinkan.
Banyak hadis yang menyokong isu ini.
Riwayat Imam Malik :
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar bahwa al-Qasim ibn Muhammad berkata,
"Umar ibn al-Khattab berkata, `Dinar untuk dinar dan dirham untuk dirham dan sa’ untuk sa’. Suatu yang akan diambil kemudian tidak boleh dijual dengan sesuatu yang ada di tangan."
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa Abu’z-Zinad mendengar Sa’id al-Musayyab berkata,
“Riba terdapat hanya dalam emas dan perak atau apapun yang ditimbang dan diukur oleh makanan dan minuman.”
Riba al-nasiah merujuk terutamanya kepada penggunaan dayn dalam petukaran (sarf) barang yang sama jenis. Tetapi larangan ini dilanjutkan dalam jual-beli secara am dimana dayn sebagai matawang sudah melewati batasan kontrak peribadi kepada alat pertukaran (sebagai wang ) yang menggantikan ‘ayn.
Imam Malik, r.a., menunjukan pekara ini didalam ‘Al-Muwatta’:
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar tanda terima/resit(sukukun) dibagikan pada penduduk pada masa Marwan ibn al-Hakam untuk barang di pasar al-Jar. Penduduk membeli dan menjual resit diantara mereka sebelum mereka mengambil barangnya. Zayd ibn Tsabit bersama seorang Sahabat Rasulullah, sallallahu alayhi wa sallam, pergi menghadap Marwan ibn al-Hakam dan berkata, “Marwan! Apakah engkau menghalalkan Riba?” Ia menjawab, “Naudzubillah! Apakah itu?” Ia berkata, “Resit-resit ini yang dipergunakan penduduk untuk berjual-beli sebelum menerima barangnya.” Marwan kemudian mengirim penjaga untuk mengikuti mereka dan mengambilnya dari penduduk kemudian mengembalikannya pada pemilik asalnya.
Zayd ibn Thabit khususnya menyebut riba, resit(dayn)‘ dimana penduduk berjual beli sebelum menerima barang’. Emas, perak atau makanan boleh digunakan sebagai bayaran,tetapi kamu tidak boleh menggunakan nota janji pembayaran. Didalamnya ada penangguhan sebagai tambahan yang tidak dibenarkan. Sekiranya kamu memiliki dayn, kamu haruslah mengambil barang tersebut(‘ayn) dan barulah kamu boleh bertransaksi. Dayn tidak boleh digunakan sebagai matawang.
Secara umumnya, peraturannya ialah kamu tidak boleh menjual sesuatu ada disitu dengan suatu yang tiada. Amalan ini dipanggil Rama’ dan ini adalah Riba. Imam Malik menyambung :
Yahya meriwayatkan kepada saya dari Malik dari ‘Abdullah ibn Dinar dari ‘Abdullah ibn ‘Umar bahawa ‘Umar ibn al-Khattab telah berkata
"Janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali dengan seimbang, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain, janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali dengan seimbang dan, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain dan janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak ada dengan suatu yang ada (fizikal). Jika seseorang meminta kamu menunggu untuk membuat pembayaran sehingga dia kembali ke rumahnya, janganlah kamu tinggalkannya, aku bimbang rama’ atas kamu. Rama’ ialah riba."
Rama’ adalah amalan biasa dalam pasar kita sekarang ini. Matawang dayn(wang kertas,resit) telah mengantikan matawang ‘ayn(dinar,dirham). Inilah yang dimaksud oleh Umar ibn al-Khattab apabila dia berkata saya bimbang Rama’ keatas kamu.
Jual-beli dengan penangguhan tidak terhad atas logam sahaja tetapi termasuk makanan. Kata Malik
"Rasullulah s.a.w melarang makanan dijual sebelum makanan tersebut diserah "
Oleh itu apa yang dilarang didalam riba al-nasiah ialah penambahan palsu yang tidak sepatutnya ada dalam transaksi secara fitrah. Apakah yang dimaksud dengan palsu dan fitrah disini ? Maksudnya setiap transaksi mempunyai keadaan masa dan harga.
Pinjaman melibatkan penangguhan tetapi bukannya lebihan kuantiti. Seorang memberikan sejumlah wang , selepas jangka masa waktu tertentu wang tersebut dipulangkan tanpa sebarang tambahan. Tambahan masa adalah halal tetapi tambahan kuantiti apabila dipulangkan adalah haram.
Ini adalah riba. Pertukaran(as-sarf) tidak boleh melibatkan penangguhan dan tambahan kuantiti. Apabila seorang memberi wang, yang sama diberikan tanpa penangguhan. Penangguhan tidak dibenarkan dalam pertukaran. Jika kamu mahu melambatkan pembayaran, kamu harus jadikan ia sebagai pinjaman, kamu tidak boleh menjadikan pinjaman sebagai sesuatu yang tersembunyi disebalik ‘ Pertukaran yang ditangguhkan ‘. Pertukaran yang ditangguh dipanggil riba al-nasiah.
Sewaan melibatkan penangguhan dan penambahan dan ianya halal. Apabila kamu menyewa sebuah rumah, kamu telah memgambil rumah tersebut untuk tempoh waktu tertentu ( penambahan ) dan sebagai balasannya kamu membayar sewa(penambahan). Penambahan ini dalam masa dan kuantiti dibolehkan dan halal.
Tetapi kamu hanya boleh menyewakan barang yang hanya boleh disewa. Kereta, rumah atau kuda. Wang atau makanan tidak boleh disewa, untuk berpura – pura wang boleh disewa akan merosakkan transaksi jual beli dan menjadikannya riba.
Setiap transaksi melibatkan keadaan yang berkaitan dengan benda itu sendiri. Kita tidak boleh mengambil syarat untuk suatu benda dan dikaitkan dengan syarat pada benda yang lain tanpa merosakkan transaksi tersebut. Dengan menambah syarat atau lebihan akan berlaku riba.
Oleh kerana dayn itu sendiri adalah penangguhan, penggunaan dayn hanya dihadkan penggunaannya secara individu dan dilarang digunakan sebagai medium untuk pembayaran. Dayn adalah halal, menggunakannya sebagai matawang adalah haram.
Dayn adalah kontrak persendirian antara dua individu dan akan terus menjadi kontrak dalam skop persendirian. Perpindahan dayn dari seorang ke seorang yang lain boleh dijalankan, secara Islamnya dengan menyelesaikan dayn yang pertama dan membuat dayn yang baru. Dayn tidak boleh diedarkan diluar batas kontrak individunya dan bebas merata. Pemiliknya mesti mengambil barang sebagimana yang tertera pada dayn dan melupuskan dayn tersebut. Dayn tidak boleh digunakan sebagai alat tukaran dan digunakan sebagai medium pembayaran, oleh itu dayn tidak boleh digunakan untuk membayar zakat.
Hadis yang terkenal yang menyebut tentang “tangan dengan tangan“ dan “seimbang" merujuk pada riba. Emas dengan emas, seimbang dan tangan dengan tangan merujuk kepada perseimbangan dalam traksaksi. Satu aspek merujuk kepada keseimbangan dalam kuantiti jika berlaku ketidakseimbangan menjadi riba al-fadl dan satu lagi merujuk kepada kesegeraan(tanpa penangguhan) dan jika berlaku penangguhan dirujuk sebagai riba al – nasiah. Ini akan menghalang keadaan dimana emas yang tidak ada(dayn) ditukar dengan emas yang ada(ayn). Ini sangat relevan kerana cara beginilah orang Islam ditipu dengan emas mereka dengan cara menukar dengan kertas janji palsu emas( bentuk asal wang kertas)
kedua – dua riba al – nasiah dan riba al – fadl dilarang dalam Al Quran, malah riba dalam Al Quran dan Sunnah adalah sama . Sunnah adalah amalan hidup sebagai penafsiran dari Al Quran.
Riba yang dikenali sebagai riba al Jahiliyah mengandungi kedua – duanya riba al-nasiah dan riba al-fadl. Dalam transaksi ini, pembayaran ditangguh ( nasiah ) ditukar dengan penambahan (fadl), tetapi riba al – nasiah melibatkan lebih dari hanya riba al – jahilliyah.
Memahami riba al-nasiah adalah asas kapada pemahaman tentang kedudukan kita keatas duit kertas.
Bersambung...