Apa Yang Perlu Dan Tak Perlu Dibuat Ketika Raya?


Alhamdulillah… syukur ke hadrat ilahi, dapat kita bertahan sehingga hampir ke penghujung Ramadhan. Dalam menempuhi 10 hari terakhir Ramadhan ini, dapat kita lihat pelbagai gelagat umat Islam di negara ini di mana segelintir daripada mereka kelam kabut bershoping sakan, tidak sabar menanti ketibaan Syawal manakala segelintir lagi mula menggandakan amal ibadat, berasa sayu akan pemergian Ramadhan buat tahun ini. Saya berharap kita semua berada berat kepada golongan yang kedua. Dalam menghadapi tempoh hari raya kelak, terdapat banyak kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat kita, di mana masing-masing bercelaru tidak dapat mengenalpasti mana satu adat, mana satu sunnah. Di sini, saya ingin memberi saranan kepada rakan-rakan mahu pun diri sendiri, menyenaraikan apakah yang perlu dilakukan dan tak perlu dilakukan dalam menghadapi hari raya kelak.

Tidak Perlu
[x] Terlampau bersedih-sedihan.
Sudah menjadi budaya masyarakat kita, dihidangkan pelbagai drama-drama serta lagu-lagu berunsur sedih pada menjelang raya. Sedangkan Rasulullah SAW, menggalakkan kita bergembira menyambut ketibaan Syawal.

[x] Bersalam-salaman dengan bukan mahram.
Seringkali terjadi membabitkan di kalangan sepupu sepapat di mana mereka menyangka mereka adalah termasuk di kalangan mahram.

[x] Tidak menjaga aurat.
Sudah menjadi lumrah, apabila tiba hari raya, satu keluarga akan berkumpul termasuk adik ipar perempuan, abang ipar dan sebagainya. Namun, ia bukan menjadi alasan untuk mendedahkan yang tidak sepatutnya.

[x] Berhias berlebih-lebihan.
Hari kebesaran umat Islam ini menjadi tiket kepada sesetengah daripada mereka untuk menggayakan pakaian yang tidak pernah dipakai sebelum-sebelum ini iaitu menyarungkan pakaian yang ketat serta memakai wangi-wangian yang menarik perhatian ramai.

[x] Meninggalkan solat.
Oleh sebab terlampau sibuk beraya ke sana sini, mereka mengambil jalan mudah ingin menqada’kan solat-solat yang ditinggalkan… astagfirullah.

[x] Kembali membuat dosa.
Terdapat sesetengah daripada mereka yang jumud pemikirannya berfikir bahawa hanya pada bulan Ramadhan sahaja mereka perlu menjaga mata, mulut, telinga dan pelakuan. Dan apabila tiba syawal, mereka kembali melakukan maksiat-maksiat tersebut.

[x] Mengehadkan bermaafan.
Tidak ada nas-nas Islam menyebut hari raya adalah hari bermaafan, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah menyegerakan pemohonan maaf tanpa menunggu hari raya atau hari tertentu.

[x] Mengehadkan ziarah kuburan.
Sesetengah daripada masyarakat kita mewajibkan untuk menziarahi kubur pada pagi raya. Sedangkan melakukan ziarah khas pada hari raya bersama dengan perasaan sedih dan pilu adalah bukan amalan Nabi s.a.w dan menyanggahi tujuan hari raya dalam Islam. Jika sekadar lalu di kawasan kubur sambil berdoa tidaklah mengapa.

Perlu
[/] Digalakkan solat sunat hari raya di tempat lapang.
Dengan bersolat di tempat lapang yang disertai oleh setiap lapisan kaum muslimin maka menambahkan kemeriahan, kekuatan jiwa dan semangat, serta kegembiraan dalam kaum muslimin.

[/] Digalakkan berpuasa enam.
Sunat berpuasa enam hari pada Bulan Syawal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hariraya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawwal samada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut.

[/] Takbir serta khutbah raya penuh semangat.
Sekali lagi ingin dinyatakan, hari raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, seharusnya kita umat Islam berasa semangat untuk membesar-besarkan Allah sebagai tanda syukur atas nikmat kurnian Allah.

[/] Berpada-pada dengan hiburan.
Hari raya adalah hari kita bergembira maka diharuskan untuk dihidangkan dengan hiburan tetapi hendaklah dengan penuh disiplin dan adab yang baik untuk merangsang kegembiraan. Semoga dengan hiburan ini dapat memeriahkan lagi hari rayanya..

Cukuplah beberapa point yang dibincangkan di atas. Selamat hari raya kepada semua! Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd.

Sumber:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Elf Coupons